Senarai prasekolah Prasekolah di Malaysia

KEMAS

KEMAS merupakan prasekolah awam terawal ditubuhkan di Malaysia, sekitar tahun 1970-an. KEMAS merupakan singkatan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat. Sebelumnya, jabatan ini dikenali sebagai Bahagian Pelajaran Dewasa yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1961[15]. Di bawah KEMAS, terdapat dua jenis prasekolah yang dikendalikan; Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) KEMAS untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun[16] dan Tabika KEMAS untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. Secara umumnya, penubuhan prasekolah di bawah KEMAS mensasarkan kepada keluarga yang tinggal di luar bandar[17][18] dan berpendapatan rendah[18][19].

Setakat Mei 2022, terdapat sebanyak 10,765 buah Tabika KEMAS yang beroperasi di seluruh Malaysia yang membabitkan murid-murid seramai 215,565 orang[20]. Guru-guru yang berkhidmat dalam prasekolah KEMAS ini memiliki lulusan diploma, dan bakal dinaiktaraf kepada lulusan ijazah sarjana muda[21].

Perpaduan

Tabika Perpaduan dikendalikan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di bawah Kementerian Perpaduan Negara Malaysia. Ianya mula ditubuhkan pada tahun 1976 di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat[22]. Tabika Perpaduan biasanya ditubuhkan di kawasan bandar yang mempunyai komuniti Rukun Tetangga. Selain Tabika Perpaduan, terdapat juga prasekolah untuk kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah, yang dikenali sebagai Taska Genius Perpaduan, ditubuhkan pada tahun 2010[23].

Setakat Mac 2022, terdapat sebanyak 1,781 buah Tabika Perpaduan yang beroperasi di seluruh Malaysia yang membabitkan murid-murid seramai 37,000 orang[24]. Tabika Perpaduan menggunapakai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), dengan beberapa program khusus yang relevan dengan agenda perpaduan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia[25].

Kelas Prasekolah KPM

Prasekolah KPM merupakan program prasekolah yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang mula diperkenalkan pada tahun 2017[26], untuk kanak-kanak berusia lima dan enam tahun. Pendidikan prasekolah KPM ini merupakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara di bawah teras pendidikan, iaitu meningkatkan akses kanak-kanak ke prasekolah di Malaysia. Kelas prasekolah KPM ini biasanya terletak dalam sekolah rendah, bagi membiasakan kanak-kanak dengan suasana di sekolah apabila mereka memasuki persekolahan rendah[26][27].

Terdapat beberapa syarat kemasukan yang ditetapkan KPM seperti kanak-kanak berwarganegara Malaysia sahaja dan keutamaan diberikan berdasarkan susunan senarai status pendapatan keluarga untuk satu-satu sekolah, di mana keluarga yang berpendapatan rendah diletakkan sebagai senarai pendahulu, diikuti dengan keluarga berpendapatan yang lain[28]. Murid-murid pula dipilih menerusi jawatankuasa pemilihan, yang dianggotai oleh Guru Besar, Penolong Kanan, Guru Prasekolah, Guru Tahap 1 dan 2, Penolong Pembantu Murid (PPM) dan seorang wakil komuniti[29].